A+ R A-
Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor

URUSAN PENGAMBILAN

SS

Bagaimana saya ingin memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri?

Permohonan untuk memasuki perkhidmatan awam negeri hendaklah dibuat dengan mendaftar ke sistem e-Perjawatan secara online di laman web http://spn.selangor.gov.my.

Adakah saya perlu memohon semula sekiranya terdapat jawatan yang diiklankan, walaupun pernah mengisi secara online satu ketika dahulu?

Ya, ini kerana Suruhanjaya hanya membuka permohonan jawatan semasa berlaku kekosongan sahaja. Jika tidak berlaku kekosongan calon hanya boleh mengemaskini maklumat peribadi dan akdemik sahaja. Calon dinasihatkan sentiasa peka apabila berlaku kekosongan jawatan kerana semasa kekosongan berlaku, calon juga perlu mengemaskini permohonan jawatan mengikut iklan yang disiarkan.


Bagaimanakah cara untuk memohon sekiranya tidak mempunyai kemudahan internet dan tidak tahu menggunakan komputer?

Permohonan boleh dibuat secara percuma di :-

Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor.
Tingkat 1, Bangunan Darul Ehsan,
No. 3, Jalan Indah, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Perlukah saya menghantar salinan dokumen yang telah disahkan, biodata/maklumat peribadi (resume) untuk memohon jawatan melalui Permohonan Online?

Tidak perlu. Pemohon hanya dikehendaki mengisi dengan teliti dan sempurna semua maklumat yang

diperlukan dalam borang permohonan. Walau bagaimanapun, dokumen asal serta salinan dokumen yang disahkan perlu dibawa pada hari temuduga.

Bagaimana cara untuk mengetahui adanya kekosongan jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri?

Jika berlaku kekosongan sesuatu jawatan, iklan akan dikeluarkan melalui akhbar Utusan Malaysia, portal SPN, dan dipamerkan juga di papan kenyataan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor.

Kenapa sesuatu permohonan itu tidak didaftarkan?

Sesuatu permohonan itu tidak didaftarkan mungkin disebabkan kegagalan calon untuk mengisi borang on-line dengan tepat mengikut panduan yang telah ditetapkan. Ini penting kerana urusan pendaftaran kini dibuat secara berkomputer sepenuhnya.

Adakah semua institusi pengajian tinggi diiktiraf?

Tidak semua institusi pengajian tinggi (IPT), terutamanya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sama ada di dalam atau di luar negara diiktiraf oleh Kerajaan. Oleh itu mereka yang ingin berkhidmat dengan Perkhidmatan Awam Negeri perlu memastikan IPT atau kelayakan yang mereka perolehi dari IPT berkenaan telah diiktiraf oleh Kerajaan. Senarai IPTS dan bidang pengajian yang diiktiraf ada dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Oleh itu, semakan bolehlah dibuat dengan Jabatan berkenaan atau laman webhttp://www.interactive.jpa.gov.my/frmmainiktiraf.asp

Sekiranya saya mempunyai Diploma, adakah saya boleh memohon jawatan bertaraf SPM?

Pemegang Diploma dibenarkan untuk memohon jawatan bertaraf SPM dan setaraf manakala Pemegang Ijazah boleh memohon jawatan bertaraf Diploma (sekiranya calon mempunyai Diploma) dan setaraf.

URUSAN TEMUDUGA

ss

Saya telah memohon jawatan secara online dengan Suruhanjaya perkhidmatan Negeri semasa berlaku kekosongan jawatan. Bilakah saya akan di panggil temu duga?

Semua pemohon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri akan dipanggil temuduga sekiranya :-

a. Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon;

b. Melepasi asas tapisan yang dikenakan

 c. Melepasi tapisan halus yang dikenakan sekiranya permohonan terlalu ramai.



 

Kenapa saya tidak dipanggil temu duga?

Ada pelbagai sebab mengapa seseorang pemohon itu tidak dipanggil temuduga walaupun mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri seperti:-

a. Permohonan yang dikemukakan oleh pemohon tidak lengkap dan tidak didaftarkan di dalam sistem Suruhanjaya.

b. Pemohon tidak melepasi syarat tapisan yang dikenakan oleh Suruhanjaya sekiranya jumlah pemohon terlalu ramai.

c. Pemohon tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam iklan atau dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang mereka pohon





Bagaimana untuk mengetahui keputusan temuduga?

Keputusan temuduga akan dipaparkan melalui portal http://spn.selangor.gov.my dan kami akan menghantar keputusan rasmi ke alamat emel yang telah didaftarkan.

Apa akan berlaku jika saya tidak hadir temu duga?

Calon-calon yang dipanggil temuduga tetapi tidak hadir tidak akan dikenakan sebarang penalti.

Sekiranya calon tidak menghadiri temuduga, apa kesannya kepada calon?

Calon tidak akan dikenakan sebarang tindakan. Namun demikian sekiranya calon telah ditawarkan untuk sesuatu jawatan, tetapi calon menolak, calon akan disenaraihitamkan.

URUSAN TATATERTIB

ss

Adakah tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja boleh diambil ke atas pegawai yang telah bersara wajib, atas kesalahan yang dilakukan semasa dalam perkhidmatan?

Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai yang telah bersara kecuali jika tindakan tatatertib telah pun dimulakan (pertuduhan telah dihadapkan kepada pegawai) sebelum tarikh persaraan itu, maka tempoh perkhidmatan pegawai itu disifatkan sebagai telah dilanjutkan sehingga tindakan tatatertib itu berkeputusan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencen.

Adakah tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pegawai yang telah meletak jawatan dari perkhidmatan awam?

Tindakan tatatertib tidak boleh lagi diambil ke atas seseorang pegawai yang telah meletak jawatan. Tindakan tatatertib yang sedang diambil juga tidak boleh diteruskan lagi selepas perletakan jawatan tersebut

Apakah tindakan yang sesuai diambil terhadap pegawai dalam percubaan yang melakukan kesalahan tatatertib kerana tindakan melalui proses tatatertib akan mengambil masa yang lama?

(i) Dari segi peraturan, tindakan tatatertib hingga ke peringkat buang kerja boleh diambil terhadap pegawai dalam percubaan, terutama jika mereka telah melakukan kesalahan yang serius.

(ii) Pilihan lain ialah KJ memperakukan kepada SPA supaya pegawai tidak disahkan dalam perkhidmatan. Berdasarkan perakuan itu SPA boleh menamatkan perkhidmatan mereka.

(iii) Pegawai dalam percubaan sepatutnya lebih berdisiplin dan mengelak diri daripada melakukan kesalahan tatatertib. Tujuan tempoh percubaan ialah untuk memberi peluang kepada pegawai membuktikan kesesuaian dan kebolehan mereka sebagai pegawaii awam. Oleh itu KJ perlu lebih tegas mengendalikan kes salah laku mereka.



Apakah tindakan yang boleh diambil oleh KJ jika pegawai memperolehi sijil sakit palsu dan adakah wajar seorang Ketua Jabatan meluluskan cuti sakit bagi kakitangan yang mengemukakan sijil sakit dari klinik swasta?

Perlu diingat bahawa sijil sakit yang dikeluarkan oleh seseorang pengamal perubatan berdaftar (doktor) itu adalah sebagai satu perakuan/pengesahan bahawa pegawai kurang sihat dan disyorkan berehat pada tarikh yang dinyatakan. Jika KJ bersetuju dengan pendapat doktor itu maka pegawai bolehlah diluluskancuti sakit. Pada tarikh pegawai disahkan tidak sihat itu mereka sepatutnya berehat di rumah atau di hospital.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai kabur sehingga menyulitkan mereka untuk mempertahankan diri dan melemahkan peluang Kerajaan untuk menang jika kes tersebut dicabar di mahkamah. Untuk itu, bagaimanakah mengatasi masalah ini?

Setiap pertuduhan perlu jelas, terperinci dan spesifik. Tuduhan perlu menyatakan sekurang-kurangnya jenis kesalahan, tarikh, masa dan tempat kesalahan tersebut berlaku. Misalnya, jika pegawai dituduh memberi isyarat lucah, perlu dijelaskan bagaimanakah isyarat itu telah ditunjukkan; bila ianya dilakukan; dan di mana. Lebih baik lagi jika dinyatakan sekali saksi yang boleh mengesahkan dakwaan itu. Jika berlaku pertuduhan sebegini, pembatalan prosiding perlu dilakukan dan bukannya pembatalan pertuduhan.


Apakah tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas boleh diambil ke atas seseorang pegawai yang telah ditangkap/ditahan oleh pihak polis atau BPR kerana disyaki melakukan jenayah?

Tangkapan seumpama ini dianggap sebagai tangkapan kerana membantu siasatan. Ketidak hadiran bertugas bagi tempoh pegawai ditahan itu adalah disifatkan sebagai dengan sebab yang munasabah. Walau bagaimana pun sekiranya pegawai masih tidak hadir selepas dibebaskan sama ada dengan ikat jamin dan sebagainya, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan bagi ketidak hadiran selepas dia dibebaskan itu.

Bagaimana menguruskan masalah pegawai yang melakukan kesalahan tidak hadir bertugas secara tenggelam timbul: kadang-kadang hadir, kadang-kadang tidak?

Jika ketidakhadiran itu merupakan kesalahan tatatertib, tindakan hendaklah dimulakan sebaik-baik sahaja pegawai melakukan kesalahan tersebut tanpa menunggu sehingga jumlah hari yang mereka tidak hadir itu mencapai jumlah tertentu. Di peringkat awal kesalahan itu dilakukan dan jumlahnya masih sedikit, pegawai sebaik-baiknya diberi nasihat dan bimbingan. Tindakan tatatertib adalah langkah terakhir, iaitu jika tindakan awal tidak berkesan.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pegawai kembali bertugas dalam tempoh penyiaran notis?

Peraturan 26(5) menjelaskan jika pegawai melaporkan diri untuk bertugas dalam masa 7 hari darii tarikh penyiaran notis, Ketua Jabatan hendaklah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan supaya prosiding tindakan tatatertib biasa dikenakan terhadap pegawai.




Maklumat dalam portal ini telah dikemaskinikan pada :

Login