Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPN Selangor) telah berjaya menempuh tahun 2024 dengan penuh tekad dan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor.
Sepanjang tahun ini, Pejabat Setiausaha telah memainkan peranan penting sebagai urus setia utama dalam melancarkan pelaksanaan fungsi-fungsi Suruhanjaya yang termaktub di bawah Bab 10 Fasal XCII(9), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959. Ini termasuklah urusan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat serta kawalan tatatertib bagi anggota Perkhidmatan Awam Negeri.
Dalam mendukung gagasan “Selangor Maju Bersama”, Suruhanjaya sentiasa berpegang kepada Visi untuk mendapatkan sumber tenaga manusia yang berkebolehan dan kompeten untuk berkhidmat selaras dengan cabaran masa dan kemajuan teknologi. Kami turut komited kepada Misi membentuk Kerajaan Negeri dalam mewujudkan Perkhidmatan Awam Negeri yang berkualiti unggul, dengan menjadikan Objektif kami sebagai panduan, iaitu memberi perkhidmatan yang cemerlang, telus dan berkesan dalam memenuhi kehendak semua pelanggan, terutamanya kepada anak jati Negeri Selangor Darul Ehsan.
Tahun 2024 menyaksikan pelbagai inisiatif penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya, termasuk pengukuhan infrastruktur teknologi maklumat dalam proses temu duga dan pelantikan, pemeriksaan sistem pengurusan data perjawatan, serta latihan peningkatan kompetensi kepada warga kerja. Langkah-langkah ini dilaksanakan bagi memastikan urus tadbir Perkhidmatan Awam Negeri kekal berdaya tahan, beretika, berprestasi unggul dan menjaga imej Kerajaan Negeri Selangor dengan baik.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y.A.D. Dato’ Pengerusi dan Ahli-Ahli Suruhanjaya atas kepimpinan yang cemerlang serta sokongan berterusan. Tidak dilupakan, ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja Suruhanjaya yang telah menunjukkan semangat kerjasama, komitmen dan dedikasi tinggi dalam menjayakan misi Suruhanjaya. Adalah menjadi harapan saya agar Suruhanjaya terus maju ke hadapan sebagai institusi yang berwibawa, bebas rasuah dan profesional dalam membentuk barisan dan jentera Penjawat Awam Negeri Selangor yang berdisiplin tinggi, berkualiti, dinamik, berintegriti dan mempunyai semangat mendokong aspirasi Kerajaan Negeri Selangor.
Ybrs. Tuan Mohd Rashidi bin Ruslan
Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Darul Ehsan
Kemaskini pada 2025-10-01 15:35:44 daripada Administrator